Laman Utama

Rabu, 21 September 2011

KHABAR DARI DESA

Assalamualaikum Warahmatullah..
               
Menemui sahabatku yang berada nun jauh di perantauan. Dari keheningan dan damainya bumi lembah bayu ini, kutitipkan salam penuh rindu dariku, juga dari seisi desa yang teramat mendambakan kehadiranmu.. Apa khabarnya dirimu? Imanmu? Perjuanganmu? Moga dirimu serta segala urusanmu sentiasa berada dalam kesejahteraan dan perlindungan Khaliqul ‘Adzim.

Sahabatku,
                Ku titipkan kertas kumal ini bukan sekadar menitip khabar, bukan juga sekadar bersoal ehwal. Bahkan ku ingin mencuri sedikit masamu itu untuk membaca cerita-cerita terkini dari redaksi desa yang sering memuatkan peristiwa-peristiwa pelbagai rupa. Aku tahu kau sedang keras berusaha demi menamatkan pengajianmu. Aku juga tahu betapa kau sedang berjuang bermatian demi sebuah kejayaan yang kau impikan. Namun ku berharap jangan kau campak kertas kumal ini, kerana aku benar-benar ingin kau tahu apa yang telah terjadi di desa lembah bayu permai kita selama 3 tahun ini.

Sahabatku,
                Masihkah kau ingat ketika kita bersama-sama menjadi penagih ilmu, ke sana ke mari dengan mengelek kitab dan buku, menadah keringat demi selaut wibawa dan keserbatahuan? Tentu kau masih ingat,bahawa kita pernah melakar janji lantas memahatnya di batang pohon mempelam di belakang rumahmu. Janji kita itu, janji pasti yang penuh azam dan tekad. Janji untuk merubah desa lembah bayu ini menjadi sebuah desa yang indah dengan karangan ilmu dan penuh dengan jasad ulama’ amilin. Masih kau ingat sahabatku? Hingga sekarang janji itu masih terpahat jelas dalam nubari ini, juga di batang pohon mempelam di belakang rumahmu itu, meski setelah bertahun engkau pergi.

Sahabatku,
                Kau tentu sedar keadaan global yang semakin parah dilanda penyakit kemodenan tanpa batasan. Kau juga pasti sedia maklum akan kritikalnya jiwa masyarakat yang kian tenat akibat kesan kemajuan yang melampau. Kau pasti arif benar tentang gejala virus sosial yang semakin menular dalam kalangan manusia. Aha..maaf sahabatku, aku bukan mahu bersyarah tentang dunia perubatan yang jauh berbeza dengan ilmu usul agama yang kau pelajari. Namun jangan lupa sahabatku, meski medan ilmu kita lain datarnya, ilmu kita itu sumbernya sama. Biarpun aku bakal bergelar doktor, dan kau bakal ustaz, misi kita tetap sama, iaitu untuk menabur bakti dan budi di samping menjadi daei serba boleh yang mampu mengubah bi’ah masyarakat.

Sahabatku,
                Beberapa bulan selepas keberangkatanmu ke bumi Musa itu, desa lembah bayu kita dikejutkan dengan satu berita. Seorang gadis berusia belasan tahun didapati bersalah kerana melakukan zina, melahirkan anak tidak sah taraf malah lebih sadis lagi, bayi yang dilahirkan sempurna itu dibuangnya ke dalam tong sampah! Sungguh remuk redam hati ini sahabatku. Seolah-olah ketika itu aku terlihat bayangan lidah neraka di ufuk langit senja menjelang maghrib ketika bayi itu kutemui dalam keadaan menyedihkan. Entah apa yang merasuk fikiran muda-mudi zaman sekarang ini. Sedang kesantunan budaya telah lama diletak ke tepi, perbuatan tidak bertamadun seperti ini pula yang mereka lakukan. Kemana hilangnya pertimbangan akal fikiran dan kewarasan, tiada siapa yang tahu. Semua penghuni desa lembah bayu kini saling berbalah dan salah menyalahi.
Sahabatku,
                Beberapa bulan selepas tragedi hitam itu, desa lembah bayu kita sekali lagi dikejutkan dengan satu insiden ngeri yang melibatkan pemuda-pemuda desa kita. Pada malam hari pertama kepulanganku ketika cuti semester, tidur lenaku diganggu dengan bingit derum enjin motosikal yang sahut menyahut bagaikan saling mencabar, mengajak sang seteru beradu kehebatan. Aku sekadar membiarkan, berfikir bahawa bunyi bingit itu cuma sekadar kenakalan anak muda yang masih mentah fikirannya. Bunyi tayar motosikal menyeret-nyeret, ditambah dengan jerit sorak suara mereka yang begitu seronok menemani gelap malam. Namun siapa menduga, dalam kebingitan itu kedengaran bunyi dentuman kuat diselangi suara raungan kesakitan. Dalam tidak sedar aku sudahpun berada di hadapan sekujur tubuh, parah terhimpit di celah-celah lori balak yang sering keluar masuk dari desa kita, bersama sebiji motosikal yang remuk dan hancur. Tubuh itu tadi kaku, dengan lumuran darah yang memercik membasah aspal. Sekumpulan remaja yang tadinya begitu seronok mengusik sunyi hilang entah ke mana.

Sahabatku,
                Tentu kau masih ingat ketika kita bersama-sama dengan penduduk desa bergotong royong mengubah suai masjid. Masjid desa yang tersergam indah itu seolah-olah menjadi lambang kemakmuran desa lembah bayu ini. Di situlah penduduk desa berkumpul, membincangkan hal ehwal agama, bersilaturrahim, bahkan aktiviti-aktiviti pengisian rohani juga sering diadakan. Sementelah kita selaku jawatankuasa Unit Pembangunan Remaja juga tidak henti merancang dan memikat muda-mudi desa untuk sentiasa akrab dengan masjid. Tapi itu dahulu, ketika Imam Jamal masih ada. Kini, setelah pemergian Imam Jamal, tiada siapa lagi yang mampu dan mahu mengetuai jemaah masjid untuk terus merancang kerja bakti dan amal demi agama. Kerana itu masjid kini makin sunyi, ukhuwah penduduk desa makin renggang. Mujur beberapa bulan lalu, seorang ustaz muda lepasan maktab yang baru ditukarkan ke sini sempat menemui aku dan kami berbincang tentang cara menghidupkan kembali semangat cintakan masjid dalam kalangan penduduk desa. Tentunya, namamu menjadi antara topik perbincangan kami. Ustaz itu tidak sabar menanti kepulanganmu. Banyak perancangan telah kami aturkan dan sebahagiannya telah mula dilaksanakan. Sebahagiannya lagi, kami turut perlukan sentuhan ulama muda lepasan Al-Azhar sepertimu…

Sahabatku,
                Aku semakin tidak sabar menanti 6 bulan mendatang. Kata ibumu, lagi 6 bulan maka tamatlah pengajianmu. Tahniah, kau lebih awal dapat berbakti secara sepenuh masa untuk ummah ini. Aku? Masih berbaki 2 tahun setengah untuk aku tamatkan pengajian. Aku harap, selesai perjuanganmu di sana, cepat-cepatlah kembali ke desa. Desa sakit ini perlukanmu. Desa sakit ini perlukan kita. Aku tentunya tidak kuat untuk bekerja sendiri sedang kegawatan sosial yang makin membarah ini perlukan banyak tangan untuk bersama memperbaiki dan memperbaharui jiwa-jiwa harapan yang diharap mampu mengubah desa kita menjadi lebih indah dengan nur iman dan taqwa.

Sahabatku,
                Doaku sentiasa membasahi lantai sujudku, memohon agar kita bersama bisa bergerak dan beramal untuk Islam. Bersama berganding bahu membina taman-taman misalan syurga, bersama berpimpin tangan mengharung duri mehnah yang sering menyasarkan pejuang-pejuang yang mapan hatinya. Berdoalah juga sahabatku, agar harapan ini tidak sekadar harapan semata.. Berusahalah juga, agar kembalimu nanti membawa sinar baru yang bisa memancarkan cahaya perubahan dan penambah baikan. Demi desa kita, ummah kita, agama kita. Pengalamanmu di sana, kami seisi desa nanti-nantikan.
Salam rindu dari desa lembah bayu, buat sahabat yang jauh nun di sana, selamat berjuang..

p/s : Oh ya, kami sedang mengusahakan pembinaan maahad tahfiz untuk remaja-remaja kita di desa ini. Kalau mahu, kau boleh jadi penyumbang tenaga.


Mukhlis,

Anas Suwaifi
11 Februari 2011

Selasa, 20 September 2011

Pengucapan awam : Cara mengawal ketakutan di atas pentas.

    Satu perkara yang sering menghantui mana-mana individu yang baru mula berjinak-jinak dalam bidang pengucapan awam ialah ketakutan atau cuak untuk berdiri di atas pentas. Perkara ini merupakan satu fenomena normal yang turut berlaku kepada pemidato-pemidato profesional. Bezanya, pemidato yang berpengalaman lebih mampu untuk menangani ketakutan dan rasa cuak itu dengan lebih berkesan.

    Ketakutan, jika dibiarkan menguasai diri bukan sahaja akan mempengaruhi imej dan pembawakan seseorang itu di atas pentas malah turut menjejaskan 'jiwa' ucapan yang disampaikan. Seseorang yang gagal mengawal ketakutan di atas pentas biasanya turut gagal untu menguasai audien dengan baik. Akibat ketakutan dan gementar, biasanya pemidato akan mengalami kesukaran seperti berucap terlalu laju sehingga audien sukar untuk memahami butir-butir ucapan, menggeletar tubuh badan terutamanya tangan hingga menjejaskan bahasa badan (body language), pandangan tidak menyeluruh iaitu memandang hanya pada satu titik atau satu kawasan sahaja dan yang paling parah ialah risiko hilang tumpuan ataupun lupa. Keadaan sebegini bukan sahaja akan menjejaskan mutu persembahan atau ucapan secara keseluruhan tetapi turut akan mengundang impresi negatif daripada audien dan sidang hakim.

    Satu tips yang saya rasa sangat berkesan untuk menangani perasaan gementar di atas pentas ialah dengan meletakkan setiap perkara yang hendak disampaikan pada taraf tertinggi. Maksudnya di sini ialah dengan beranggapan bahawa ketika itu anda ialah orang yang paling arif tentang topik yang sedang anda bicarakan dan para audien pula merupakan golongan yang sangat berkehendak dan berkeperluan pada topik yang anda sampaikan. Cara ini bagi saya sendiri berkesan menangani perasaan gementar yang melampau dan mampu mengawal ketidakstabilan emosi yang seringkali mengganggu akibat self-esteem yang terlalu rendah.

    Namun begitu, perkara paling penting yang perlu dilakukan untuk mengawal atau membuang terus ketakutan dan perasaan gementar ini ialah dengan meletakkan minda dalam keadaan POSITIF, yakin dan bersedia. Maksudnya di sini ialah dengan tidak memikirkan langsung mengenai ketakutan, gementar, fobia, reaksi audien dan perkara-perkara negatif lainnya. Perlu diingat bahawa taraf persembahan anda yang mempengaruhi respon audien, bukan respon audien yang mempengaruhi penyampaian. Justeru, adalah lebih baik jika tumpuan dipusatkan pada isu dan topik yang hendak disampaikan, bukannya pada reaksi penonton dan pendengar semata-mata.

(Saya bukanlah seorang yang profesional. Teks ini ditulis berdasarkan pengalaman semata-mata)

Pengucapan awam : Antara minat, bakat dan peluang.

    Satu sesi latihan beberapa hari sebelum menyertai sebuah pertandingan, jurulatih iaitu Ustaz Yusri menemukan saya dengan satu persoalan.

Bagaimana saya boleh berada di sini?


    Persoalan itu terkubur selama beberapa tempoh, hinggalah jawapannya saya temukan tidak lama selepas itu.

    Minat, bakat dan peluang. Tiga frasa besar yang sangat berkait rapat, yang mampu mengubah seorang pendiam menjadi seorang yang petah berbicara, menukar rasa cuak menjadi semangat yang berkobar-kobar dan membina peribadi seseorang yang bijaksana dan berkarisma.

MINAT

    Minat ataupun perasaan suka melakukan sesuatu perkara itu merupakan satu faktor yang mendorong keberhasilan dalam sesuatu tindakan. Dalam bidang pengucapan awam, minat yang mendalam merupakan satu elemen penting yang perlu ada dalam peribadi seseorang pemidato. Cuba bayangkan jika kita terpaksa menjamah hidangan yang kita tidak gemar akan rasanya. Tentu sahaja selepas itu kita akan berusaha untuk mengelak daripada menjamah makanan itu lagi. Begitulah juga keadaannya dengan minat yang perlu dipupuk dalam jiwa setiap pemidato. Jika kita tidak mempunyai perasaan suka untuk berpidato, namun kita dipaksa untuk berpidato, nescaya selepas itu kita tidak akan mahu lagi untuk berpidato.

BAKAT

    Bakat boleh diklasifikasikan kepada dua kategori. Pertama, bakat yang lahir secara semulajadi. Kedua, bakat yang wujud kesan dari minat atau hasil tindakan berulang-ulang kali. Dalam bidang pengucapan awam, pidato khususnya, bakat merupakan satu aset yang sangat penting dan perlu ada untuk memastikan setiap patah perkataan yang terluah dari bibir seorang pemidato itu sampai kepada audien secara berkesan. Meskipun begitu, bakat tidak semestinya wujud sebelum seseorang itu mula berjinak-jinak dengan bidang pengucapan awam. Bakat boleh sahaja lahir selepas melakukan latihan ataupun praktis. Malah majoriti pemidato menjana bakat yang hebat selepas melibatkan diri dalam bidang ini selama beberapa tempoh.

PELUANG

    Untuk memastikan kedua-dua bakat dan minat berjaya diaplikasikan secara berkesan, peluang yang luas mestilah diberikan kepada seseorang pengucap awam itu. Peluang yang dimaksudkan disini tentulah peluang untuk berucap ataupun berpidato di hadapan khalayak ramai. Dengan itu, barulah minat dapat dipupuk dengan lebih kuat dan bakat pula dapat diperlihatkan serta diuji dengan cara lebih berkesan. Tanpa peluang, minat akan hilang dan bakat akan terkubur begitu sahaja.

    Perkaitan antara ketiga-tiga perkara di atas iaitu minat, bakat dan peluang merupakan satu kunci kejayaan yang sangat berharga kepada setiap pemidato, tanpa mengira profesional ataupun tidak. Tanpa minat, seseorang itu tidak akan dapat mengekspresikan butir-butir ucapan dengan berkesan. Tanpa bakat, seseorang itu tidak akan dapat memupuk minat dan tanpa peluang, bakat dan minat sekadar sia-sia.

    Jadi, kepada sesiapa yang bercita-cita untuk berdiri gah di atas pentas pengucapan awam, pastikan anda berusaha terlebih dahulu untuk memiliki walau sedikit minat atau keinginan untuk mencuba disertai dengan bakat ataupun kebolehan walau sedikit untuk mengekspresikan minat yang ada dan peluang dan ruang untuk menjana minat dan bakat menjadi satu ucapan hebat yang mampu mempengaruhi audien secara keseluruhannya.

(Saya bukanlah seorang yang profesional. Teks ini ditulis berdasarkan pengalaman semata-mata)