Laman Utama

Selasa, 20 September 2011

Pengucapan awam : Cara mengawal ketakutan di atas pentas.

    Satu perkara yang sering menghantui mana-mana individu yang baru mula berjinak-jinak dalam bidang pengucapan awam ialah ketakutan atau cuak untuk berdiri di atas pentas. Perkara ini merupakan satu fenomena normal yang turut berlaku kepada pemidato-pemidato profesional. Bezanya, pemidato yang berpengalaman lebih mampu untuk menangani ketakutan dan rasa cuak itu dengan lebih berkesan.

    Ketakutan, jika dibiarkan menguasai diri bukan sahaja akan mempengaruhi imej dan pembawakan seseorang itu di atas pentas malah turut menjejaskan 'jiwa' ucapan yang disampaikan. Seseorang yang gagal mengawal ketakutan di atas pentas biasanya turut gagal untu menguasai audien dengan baik. Akibat ketakutan dan gementar, biasanya pemidato akan mengalami kesukaran seperti berucap terlalu laju sehingga audien sukar untuk memahami butir-butir ucapan, menggeletar tubuh badan terutamanya tangan hingga menjejaskan bahasa badan (body language), pandangan tidak menyeluruh iaitu memandang hanya pada satu titik atau satu kawasan sahaja dan yang paling parah ialah risiko hilang tumpuan ataupun lupa. Keadaan sebegini bukan sahaja akan menjejaskan mutu persembahan atau ucapan secara keseluruhan tetapi turut akan mengundang impresi negatif daripada audien dan sidang hakim.

    Satu tips yang saya rasa sangat berkesan untuk menangani perasaan gementar di atas pentas ialah dengan meletakkan setiap perkara yang hendak disampaikan pada taraf tertinggi. Maksudnya di sini ialah dengan beranggapan bahawa ketika itu anda ialah orang yang paling arif tentang topik yang sedang anda bicarakan dan para audien pula merupakan golongan yang sangat berkehendak dan berkeperluan pada topik yang anda sampaikan. Cara ini bagi saya sendiri berkesan menangani perasaan gementar yang melampau dan mampu mengawal ketidakstabilan emosi yang seringkali mengganggu akibat self-esteem yang terlalu rendah.

    Namun begitu, perkara paling penting yang perlu dilakukan untuk mengawal atau membuang terus ketakutan dan perasaan gementar ini ialah dengan meletakkan minda dalam keadaan POSITIF, yakin dan bersedia. Maksudnya di sini ialah dengan tidak memikirkan langsung mengenai ketakutan, gementar, fobia, reaksi audien dan perkara-perkara negatif lainnya. Perlu diingat bahawa taraf persembahan anda yang mempengaruhi respon audien, bukan respon audien yang mempengaruhi penyampaian. Justeru, adalah lebih baik jika tumpuan dipusatkan pada isu dan topik yang hendak disampaikan, bukannya pada reaksi penonton dan pendengar semata-mata.

(Saya bukanlah seorang yang profesional. Teks ini ditulis berdasarkan pengalaman semata-mata)

Pengucapan awam : Antara minat, bakat dan peluang.

    Satu sesi latihan beberapa hari sebelum menyertai sebuah pertandingan, jurulatih iaitu Ustaz Yusri menemukan saya dengan satu persoalan.

Bagaimana saya boleh berada di sini?


    Persoalan itu terkubur selama beberapa tempoh, hinggalah jawapannya saya temukan tidak lama selepas itu.

    Minat, bakat dan peluang. Tiga frasa besar yang sangat berkait rapat, yang mampu mengubah seorang pendiam menjadi seorang yang petah berbicara, menukar rasa cuak menjadi semangat yang berkobar-kobar dan membina peribadi seseorang yang bijaksana dan berkarisma.

MINAT

    Minat ataupun perasaan suka melakukan sesuatu perkara itu merupakan satu faktor yang mendorong keberhasilan dalam sesuatu tindakan. Dalam bidang pengucapan awam, minat yang mendalam merupakan satu elemen penting yang perlu ada dalam peribadi seseorang pemidato. Cuba bayangkan jika kita terpaksa menjamah hidangan yang kita tidak gemar akan rasanya. Tentu sahaja selepas itu kita akan berusaha untuk mengelak daripada menjamah makanan itu lagi. Begitulah juga keadaannya dengan minat yang perlu dipupuk dalam jiwa setiap pemidato. Jika kita tidak mempunyai perasaan suka untuk berpidato, namun kita dipaksa untuk berpidato, nescaya selepas itu kita tidak akan mahu lagi untuk berpidato.

BAKAT

    Bakat boleh diklasifikasikan kepada dua kategori. Pertama, bakat yang lahir secara semulajadi. Kedua, bakat yang wujud kesan dari minat atau hasil tindakan berulang-ulang kali. Dalam bidang pengucapan awam, pidato khususnya, bakat merupakan satu aset yang sangat penting dan perlu ada untuk memastikan setiap patah perkataan yang terluah dari bibir seorang pemidato itu sampai kepada audien secara berkesan. Meskipun begitu, bakat tidak semestinya wujud sebelum seseorang itu mula berjinak-jinak dengan bidang pengucapan awam. Bakat boleh sahaja lahir selepas melakukan latihan ataupun praktis. Malah majoriti pemidato menjana bakat yang hebat selepas melibatkan diri dalam bidang ini selama beberapa tempoh.

PELUANG

    Untuk memastikan kedua-dua bakat dan minat berjaya diaplikasikan secara berkesan, peluang yang luas mestilah diberikan kepada seseorang pengucap awam itu. Peluang yang dimaksudkan disini tentulah peluang untuk berucap ataupun berpidato di hadapan khalayak ramai. Dengan itu, barulah minat dapat dipupuk dengan lebih kuat dan bakat pula dapat diperlihatkan serta diuji dengan cara lebih berkesan. Tanpa peluang, minat akan hilang dan bakat akan terkubur begitu sahaja.

    Perkaitan antara ketiga-tiga perkara di atas iaitu minat, bakat dan peluang merupakan satu kunci kejayaan yang sangat berharga kepada setiap pemidato, tanpa mengira profesional ataupun tidak. Tanpa minat, seseorang itu tidak akan dapat mengekspresikan butir-butir ucapan dengan berkesan. Tanpa bakat, seseorang itu tidak akan dapat memupuk minat dan tanpa peluang, bakat dan minat sekadar sia-sia.

    Jadi, kepada sesiapa yang bercita-cita untuk berdiri gah di atas pentas pengucapan awam, pastikan anda berusaha terlebih dahulu untuk memiliki walau sedikit minat atau keinginan untuk mencuba disertai dengan bakat ataupun kebolehan walau sedikit untuk mengekspresikan minat yang ada dan peluang dan ruang untuk menjana minat dan bakat menjadi satu ucapan hebat yang mampu mempengaruhi audien secara keseluruhannya.

(Saya bukanlah seorang yang profesional. Teks ini ditulis berdasarkan pengalaman semata-mata)