Laman Utama

Isnin, 14 November 2011

Pengucapan awam : Pembinaan imej dan karakter di atas pentas.


        Apabila seseorang individu itu berdiri di atas pentas, dua perkara utama yang menjadi tumpuan audien dan sidang hakim ialah isi ucapan dan imej individu tersebut. Bagi mana-mana induvidu yang baru mula berjinak-jinak dalam bidang pengucapan awam, secara normalnya perhatian akan ditumpukan kepada isi ucapan semata-mata. Soal pembinaan imej dan karakter akan diletakkan ke tepi, atas anggapan bahawa perkara ini kurang ataupun tidak penting sama sekali. Sangkaan ini adalah salah sama sekali kerana imej dan karakter individu, kedua-duanya sangat mempengaruhi impresi (pandangan) audien terhadap keseluruhan persembahan.

Impresi audien secara kasarnya terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, ketika mula-mula memandang penyampai, dan kedua ketika penyampai sedang berucap. Bahagian yang pertama iaitu ketika audien mula-mula memandang penyampai atau lebih dikenali sebagai first impression mewakili imejan fizikal secara luaran atau lebih tepatnya dinilai melalui pembawakan individu secara literal. Aspek yang boleh dinilai secara literal ialah:

1. Kostum ataupun sut yang dikenakan
2. Cara bangun, berjalan dan menaiki pentas
3. Cara memperbetulkan letak posisi mikrofon
4. Postur tubuh dan kepala sebelum memulakan ucapan

Manakala bahagian yang kedua iaitu impresi audien ketika penyampai sedang berucap pula mewakili pembawakan dan setiap pergerakan penyampai ketika sedang menyampaikan ucapan. Hal ini dapat dilihat melalui :

1. Postur tubuh dan kepala ketika berucap
2. Bahasa badan dan gerak gaya
3. Komunikasi mata
4. Reaksi, emosi dan lontaran suara

Bahagian pertama : Sebelum berucap

1. Kostum ataupun sut yang dikenakan


Bagi pelajar sekolah, kostum yang lazim dikenakan ialah pakaian sekolah dan kot rasmi. Untuk itu, pastikan bahawa pakaian yang dikenakan berada dalam keadaan bersih, bergosok dan kemas. Lengkapkan pakaian anda mengikut peraturan sekolah iaitu dengan memastikan lencana, tanda nama, tali leher, tali pinggang, stokin, kasut dan semua aksesori yang wajib dipakai oleh pelajar sekolah berada pada tempatnya. Kot yang dipakai hendaklah bersesuaian dengan saiz tubuh, tidak terlalu kecil hingga kelihatan sendat dan tidak terlalu besar hingga kelihatan menggeleber. Sekiranya anda mengenakan songkok atau tudung, pastikan songkok atau tudung tersebut dalam keadaan bersih dan kemas. Penggunaan alat solek adalah mengikut peraturan yang ditetapkan pihak sekolah ataupun pihak penganjur.

2. Cara bangun, berjalan dan menaiki pentas


Ketika nama atau angka giliran anda diumumkan untuk membuat persembahan, pastikan anda bangun dari tempat duduk dengan tenang. Kemudian berjalan dan naiklah ke atas pentas dengan gerak gaya yang meyakinkan. Tubuh badan dan kepala berada dalam posisi tegak, langkah kaki dan hayunan tangan teratur. Jangan menggelabah, tergopoh-gapah ataupun berlari ketika naik ke pentas. Perlu diingat bahawa ketika mana nama atau angka giliran anda dipanggil untuk membuat persembahan, ketika itulah para audien mula memerhatikan anda. Sebarang kesilapan ketika melakukan pergerakan boleh menjejaskan pandangan penonton.

3. Cara memperbetulkan letak posisi mikrofon


Sesetengah penganjur pertandingan akan menyediakan pembantu untuk memperbetulkan tinggi rendah dan kedudukan mikrofon mengikut keselesaan peserta. Meskipun begitu, satu kelaziman bagi diri saya sendiri ialah dengan memperbetulkan dan menguji sendiri posisi dan keberfungsian mikrofon mengikut kehendak saya. Caranya ialah dengan memegang kepala mikrofon dengan sebelah tangan manakala sebelah tangan lagi diletakkan di belakang badan. Gerakkan mikrofon mengikut keselesaan dan garu kepala mikrofon sekali sahaja menggunakan kuku untuk memastikan bahawa mikrofon tersebut berfungsi sepenuhnya. Perbuatan menguji keberfungsian mikrofon dengan mengeluarkan bunyi, suara ataupun dengan berdehem mungkin sahaja merosakkan imej kemas seseorang penyampai itu.

4. Postur tubuh dan kepala sebelum memulakan ucapan


Sebelum memulakan ucapan, pastikan kedua-dua emosi dan fizikal anda berada dalam keadaan yang sangat bersedia. Persediaan fizikal sejurus sebelum memulakan ucapan mewakili postur tubuh dan kepala secara kasarnya. Pastikan bahawa anda berdiri tegak, iaitu tidak bongkok dan tidak terlalu mendada ke hadapan. Kepala hendaklah berada dalam posisi normal iaitu tidak terlalu tunduk ke bawah dan tidak terlalu mendongak ke atas. Kedudukan kedua-dua kaki hendaklah sederhana, tidak terlalu mengangkang dan tidak terlalu rapat. Tangan digayakan mengikut keselesaan seperti cara berikut :

1. Kedua belah tangan dibiarkan disisi badan, atau
2. Genggam kedua tangan dan biarkan berada di bahagian hadapan tubuh, atau
3. Kedua belah tangan berada di belakang tubuh, atau
4. Sebelah tangan di hadapan badan dan sebelah tangan lagi di belakang badan, mengikut keselesaan.

Bahagian kedua : Ketika berucap

1. Postur tubuh dan kepala ketika berucap


Ketika menyampaikan butir ucapan, pastikan tubuh dan kepala anda berada dalam postur selesa iaitu dalam keadaan tegak dan bersedia. Elakkan daripada membongkokkan badan atau menundukkan kepala. Memastikan tubuh badan berada dalam posisi selesa bukan sahaja menjana keyakinan emosi tetapi juga mendatangkan impak positif kepada penonton. Pergerakan kepala yang bersahaja juga memainkan peranan penting untuk memastikan ucapan dan persembahan anda kelihatan hidup. Anggukan kepala ketika menuturkan perkataan tertentu mampu menampakkan keyakinan dan karisma anda sebagai seorang penyampai.

2. Bahasa badan dan gerak gaya


Badan

Tubuh badan hendaklah berada dalam keadaan tegak tetapi santai dan bersahaja. Ketika berucap, pastikan tubuh badan anda tidak terlalu kaku. Sesekali pusingkan badan anda 45 darjah ke kiri atau 45 darjah ke kanan, tetapi kedua tapak kaki hendaklah tetap pada tempatnya.. Pergerakan hendaklah tidak terlalu laju hingga menyerabutkan imej anda.

Tangan

Penggayaan gerakan tangan sangat penting untuk mempamerkan reaksi anda dalam satu-satu situasi. Untuk itu, pastikan gaya tangan anda tersusun kemas dan dapat dilihat dengan jelas oleh audien. Bagi menampakkan kesan lebih realistik, tekankan gaya tangan ketika mana anda sedang melakukan tekanan suara. Setiap pergerakan jari-jari juga hendaklah tersusun teratur, tidak terlalu laju hingga penonton tidak memahami maksud gerakan anda.

3. Komunikasi mata

Komunikasi mata adalah sangat penting bagi membina hubungan secara tidak terus sama ada dengan penonton ataupun juri hakim. Ketika berucap, sesekali tumpukan pandangan anda kepada individu tertentu. Contohnya, tetamu kenamaan. Perlakuan ini akan merangsang minat individu tersebut untuk mengikuti persembahan anda sehingga tamat disamping menambahkan keyakinan anda. Ketika memandang, pandanglah dengan pandangan yang bersungguh-sungguh, yakin dan ikhlas. Ibaratkan juga bahawa anda sedang berbicara bersendirian dengan individu tersebut. Tetapi, perlu diingat bahawa komunikasi mata tertumpu seperti ini hendaklah dilakukan beberapa kali sahaja, dalam selang beberapa tempoh. Jangan biarkan mata anda memandang pada objek atau kawasan tertentu sahaja seperti lantai, dinding, pintu dan sebagainya. Biarkan mata anda turut sama berbicara, sepeti apa yang bibir anda ucapkan.

4. Reaksi, emosi dan lontaran suara


Reaksi wajah, paparan emosi dan lontaran suara juga merupakan elemen penting dalam satu-satu persembahan. Ketika berucap, pastikan ketiga-tiga perkara tersebut berada pada tahap yang selari.

Contoh 1 : " Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.. perkataan 'guru' membawa maksud...."

Mimik muka : Biasa, serius                                                                                                                    Nada suara : Mendatar

Contoh 2 : "Selama bertahun-tahun kita mempertahankan kemerdekaan yang diusahakan oleh pejuang-pejuang terdahulu, mengapa mesti ada yang berusaha untuk menghancurkan kemerdekaan itu?"

Mimik muka : Marah (sederhana)                                                                                                                               Nada suara : Tinggi, tegas

Contoh 3 : "Ayuhlah, mari kita bangun bersama-sama, demi membina sebuah negara Malaysia yang megah dan gagah."

Mimik muka : Teruja                                                                                                                              Nada suara : Sederhana tinggi, memujuk tetapi tegas

Contoh 4 : "Kita lihat sahaja kehebatan angkasawan pertama Malaysia, Doktor Sheikh Muszaphar Shukor. Di angkasa sana beliau mencipta kejayaan, di bumi Malaysia juga budi beliau taburkan."

Mimik muka : Bersemangat, kagum, senyum                                                                                                            Nada suara : Sederhana tinggi, tegas

Contoh 5 : "Kita lihat sahaja di sekililing kita, melalui paparan media perdana setiap masa kita menyaksikan keruntuhan moral yang sangat membimbangkan dalam kalangan remaja kita."

Mimik muka : Sedih atau marah                                                                                                                   Nada suara : Sederhana tinggi, sedikit mendayu tapi tegas

Lontaran suara bergantung kepada 'jiwa' ayat ataupun perkataan yang disampaikan. Pastikan nada suara anda bersesuaian, tidak terlalu mendatar dan tidak terlalu perlahan. Elakkan menjerit, memekik, menengking ataupun mengeluarkan bunyi yang boleh mngundang ketidakselesaan penonton. Emosi dan reaksi yang ditunjukkan pula hendaklah dalam kadar sederhana, tidak melampau dan berlebih-lebihan.

Secara keseluruhannya, pembinaan karakter dan imej di atas pentas banyak bergantung pada kemampuan individu tersebut untuk mencipta watak seterusnya mengawal watak tersebut agar berkembang selari dengan gambaran yang cuba disampaikan. Penciptaan watak, sama ada secara spontan ataupun melalui latihan berulangkali adalah sangat penting bagi membina karakter pemidato yang hebat dan berkarisma.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan